Bagi Krishnan, sukan ragbi sedikit terjejas sejak era 1980-an apabila kurangnya tumpuan diberi terhadap pembangunan belia dan sekolah-sekolah utama ragbi tidak lagi memberi tumpuan terhadap sukan itu.
Namun, sejak tiga tahun lalu, Cobra dan juga beberapa kelab ragbi tempatan lain seperti NS Wanderes sudah mula merangka program pembangunan belia dan juga kursus kejurulatihan yang kini sudah mula menampakkan hasilnya.
“Tahap permainan ragbi ketika era 1970-an di negara ini amat baik, kerana ketika itu terdapat ramai pemain yang dihasilkan dan populariti sukan itu juga amat baik.
“Tetapi sukan ini merana pada 1980-an kerana tiada tumpuan terhadap program pembangunan belia ketika itu, dan bilangan pemain yang dihasilkan juga tidak sebanyak ketika 1970-an.
“Namun, kini banyak program pembangunan sudah dirangka dan menerusi kursus kejurulatihan yang kami adakan dan lebih kurang 200 jurulatih di kalangan guru sekolah memperoleh sijil kejurulatihan tahap satu.
“Bayangkan berapa ramai pemain dihasilkan jika seorang jurulatih melatih kira-kira 50 pemain ” kata Krishnan.
Menurut Krishnan, sebelum ini hanya sekolah-sekolah utama ragbi seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Maktab Tentera Di-raja (MTD) yang menguasai saingan peringkat sekolah, tetapi pada Kejohanan Ragbi Cobra 10 sebelah 2007 beberapa sekolah lain sudah menampilkan peningkatan.
Kemampuan sekolah-sekolah seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Yahya Petra dari Kelantan berjaya mara ke perlawanan akhir membuktikan sukan ragbi kini sedang berkembang dan ia adalah satu petanda baik.
“Jika dulu sukar untuk kita lihat sekolah-sekolah dari Kelantan atau Terengganu bersaing, kini mereka sudah mampu bersaing dan ia adalah satu perkembangan positif.
“Kita memerlukan tapak asas kukuh untuk pembangunan belia, dan sukar jika kita hanya menyandarkan harapan terhadap Sekolah Sukan Bandar Penawar untuk menghasilkan bakat-bakat baru untuk negara, ” kata Krishnan.
Krishnan yang mula memegang tampuk pimpinan Cobra sejak 1995, juga menyuarakan penghargaannya terhadap sukarelawan-sukarelawan di Cobra yang membolehkan kelab itu terus berfungsi dengan baik dan mampu untuk meneruskan Kejohanan Ragbi Cobra 10 sebelah.
“Bukan mudah untuk menganjurkan kejohanan seperti Cobra 10 sebelah dengan menyandarkan harapan hanya kepada sukarelawan, tetapi mereka berjaya melaksanakan tugas dengan baik.
“Saya berharap selepas ini kami akan terus berdiri megah membantu perkembangan ragbi Malaysia untuk 40 tahun lagi.
“Saya juga berterima kasih dengan sokongan penaja-penaja yang terus yakin dengan kami selepas 40 tahun, dan tidak terlupa juga bekas-bekas presiden sebelum saya yang banyak membantu memajukan kelab Cobra, ” kata Krishnan.
Krishnan juga menegaskan, Cobra akan meneruskan usaha melahirkan lebih ramai pemain untuk Selangor dan juga negara menerusi pasukan utamanya, Cobra Black dan pasukan pelapisnya, Cobra Stings.